Kisahku yang lama menyepi

Lama dah aku tak kemas-kini blog ni kan? ok, banyak sebenarnya yang dah berlaku keatas diri aku sepeninggalan aku ini. Perkara yang paling besar terjadi dalam hidupku ialah aku telah selamat mendirikan rumah tangga dengan bekas pakwe aku pada tahun 2017 atas desakan keluarga aku. Panjang ceritanya tetapi hari ini, aku tiada hati untuk bercerita kisah perkahwinanku itu.

 

Ok lah, hasil perkahwinanku dengan si dia bekas pakwe yang merupakan menantu kesayangan mak ayahku aku telah dikurniai dua putera sekaligus pada tahun 2018 lalu maknanya aku melahirkan anak kembar secara pembedahan. Itupun panjang ceritanya insyaAllah jika ada kerajinan, aku akan coretkan kedua-dua peristiwa itu. Sekarang aku nak cerita pasal anak-anakku.

 

Baru-baru ini salah seorang kembar belahan jiwaku terkena musibah yang menyebabkan dia terpaksa ditahan di wad. Dahinya terpaksa dijahit kerana terhantuk bucu meja kaca. Sebagai seorang ibu yang bersusah-payah meregang nyawa melahirkan pastilah aku rasa panik dan cemas takut terjadi apa-apa pada anakku itu. Ya, aku akan berkorban apa sahaja demi anak-anakku. Aku cuba dapatkan bantuan mak ayah untuk membawanya ke hospital kerana darah telah merecik dari dahi anakku itu. Sungguh lasak kau nak!!! Nasib aku baik kerana di waktu itu semua orang ada di rumah dan aku tak payah bersusah-susah memanggil ambulans ataupun teksi untuk pergi hospital membawa anakku. Anakku didokong dan dibawa masuk ke dalam kereta. Mak melarang aku untuk ikut serta. Pada mereka, biarlah mereka yang uruskan puteraku yang sedang dilanda musibah. Tetapi sebagai seorang ibu, hatiku tak tenang jika membiarkan mereka saja yang menguruskan. Aku nak tahu perkembangan anakku itu. Aku berkeras ikut mereka ke hospital dan sepanjang perjalanan, aku tak hentinya berdoa agar janganlah terjadi perkara yang tidak diingini terhadap anakku kerana aku amat menyayanginya sepenuh hatiku tiada beza diantara dua mereka ini kerana mereka juga belahan jiwaku.

 

Alhamdulillah anakku tidak apa-apa tetapi doktor terpaksa menahannya di wad kanak-kanak kerana anakku perlu diperiksa dan mendapatkan rawatan yang sewajarnya.

 

Sebagai orang awam yang bukan pakar, aku ikutkan sahaja demi mendapatkan yang terbaik untuk anakku ini. Untuk sepanjang hari sehingga malam aku menemani anakku sementara mak balik ke rumah menguruskan anak kembarku yang seorang lagi. Sepanjang ku temani, anakku ini tidak mahu berpisah dariku dan aku pasti, anakku yang dirumah pun sedang mencariku. Ya Allah, aku hanya memohon berilah kelapangan dan kemudahan untukku uruskan kedua anakku ini.

 

Mungkin anda tertanya-tanya mana suami aku... baiklah aku akan jawab seringkasnya.... Suami aku kerja offshore jarang balik. Jika balikpun sebulan sekali kalau bernasib baik seminggu atau dua minggu sekali. Akulah yang berhempas pulas kalut menguruskan zuriatnya ini dengan bantuan keluarga di rumah. Memang aku terasa tertekan kadang-kadang kerana urusan anak kekusutan anak, susah anak aku yang terpaksa menghadapi. Meskipun ada sokongan dan bantuan dari keluarga, tetapi ia tidak menyamai aura suami, anak-anak perlukan papa mereka untuk tumpang kasih.

 

Akhirnya setelah tiba saat malam hari kira-kira 10 malam, aku terpaksa pulang kerumah kerana menurut mak aku, anakku seorang lagi itu menangis mencari aku walau telah dipujuk berkali-kali tetapi tidak kebah kena aku juga yang bersamanya.

 

Jadi untuk malam tu, mak lah yang bertunggu di hospital menunggu anakku. Aku pulang ke rumah dengan rasa penat teramat sangat tetapi aku tahu, aku terpaksa mengenepikan perasaan penatku demi melayan anak kembarku yang seorang ini. Ya Allah berilah aku kesabaran dan ketabahan!

 

inikah yang terpaksa ku hadapi, mandi cukup sekadarnya, tidur pun cukup sekadarnya? hampir 1 pagi barulah aku boleh tidur selepas melayan karenah anakku ini. Esok aku akan ke hospital lagi menemani anakku. Hendak ku bawa anakku seorang ini ke hospital aku rasa ia tindakan yang sia-sia kerana peraturan di wad tidak membenarkan membawa masuk kanak-kanak. Aku berharap satu je, anakku yang di hospital waktu ni tidaklah lama ditahan di wad.

 

Ok lah cukup sekadar tu, aku nak rehat, penat sangat. Aku nak luahkan apa yang aku rasai dan alami waktu ni. Jika aku rajin, aku akan sambung. Kekalutan menguruskan dua orang sangatlah menekan namun demi tanggungjawab, aku akan berkorban dan jalankan amanah yang diberi Allah ini. Sekian dulu.... Wassalam...

Ulasan