jangan berkecil hati
Setelah Ramadhan berlalu beberapa musim barulah hatiku terbuka untuk menceritakan kisah benar yang berlaku. Aku tidak berapa ingat tahun berapa tetapi kisah yang berlaku masih terpahat dalam ingatan sehingga ke hari ini.
Seperti kelaziman di negara ini, setiapkali tibanya bulan Ramadhan, banyaklah pihak yang mengambil kesempatan menjamu orang untuk berbuka puasa bagi meraih pahala berlipat ganda yang dijanjikan Allah SWT. Ini tidak mengira sama ada di kalangan masyarakat biasa, syarikat-syarikat dan lain-lain.
Dipendekan cerita, pada pengakhir ramadhan seingatku, di waktu petang semasa aku dan kakak melepak sementara menunggu waktu berbuka tiba, kakakku ada menerima panggilan dari suaminya yang ketika itu berada di tempat tugas mengatakan bahawa dia ingin membawa kakak berbuka puasa yang dianjurkan oleh sebuah syarikat. Namun jemputan ini hanya membenarkan untuk membawa isteri sahaja iaitu kakak aku. Maknanya dia tidak boleh membawa sesiapa selain mereka (kakak dan suaminya).
Dengan berat hati setelah diberitahu oleh suaminya, kakak memberitahu kepadaku tentang jemputan itu.
Ya, setelah diterangkan bahawa jemputan itu hanya dikhaskan untuk suami isteri, aku merasa tersinggung namun cuba menyembunyikan perasaanku dari kakak dan akur sahaja tentangnya.
Jika kakak mengikut suaminya pergi ke majlis berbuka puasa itu, maknanya aku akan berbuka puasa dengan adik, mama dan bapa sahaja dan sudah setentunya rumah ini akan bertambah sunyi. Sejujurnya, aku tidak biasa jika berbuka puasa tanpa kakak. Sebagaimana kebiasaan, kebanyakan acara makan-makan dan sebagainya yang melibatkan kakak, pasti aku akan ikut serta. Jika tidak ikut pun, pasti ada sebab-sebab tertentu. Namun aku kena akur dengan semua ini.
Nasib baiklah di rumah ini belum lagi menyediakan masakan juadah berbuka dapatlah aku meminta untuk berbuka di luar sekurang-kurangnya, terubat sedikit hatiku yang lara, pilu, hiba, sebak dan tersinggung ini.
Cadanganku diterima oleh mama, bapa dan adik perempuanku. Kebetulan juga mama dan bapa ada jemputan berbuka puasa yang dianjurkan oleh rakan kepada bapa. jadinya, masing-masinglah ada jemputan majlis berbuka puasa petang itu. Jika kami tidak berbuka puasa di luar, kami akan hanya tinggal berdua sahaja (aku dan adik perempuan) dan ia akan bertambah sunyi lagi di rumah ini. semestinya ini tidak menyeronokkan.
Akhirnya setelah kakak dijemput suaminya untuk menghadiri majlis berbuka, kami pun menyusul beberapa lama selepas itu. Memandangkan tiada perancangan untuk makan di luar, restoran kebanyakannya sudah pun penuh. Puas kami mencari dan masa pun semakinn suntuk. Akhirnya restoran yang ada slot kosong hanyalah restoran Kaka di kawasan Jerudong. Kami pun menempah slot yang masihh ada itu takut-takut ia akan dirembat.
Pada ketika ini, aku hanya berdua bersama adikku sementara kedua ibubapa, sudah pun pergi ke majlis berbuka di tempat lain.
Kami mengambil keputusan untuk menyertai buffet agar kami tidak perlu bimbang kerana set buffet tidak terhat.
Di sini hatiku agak sedikit terubat dan berdoa, "ya Allah, berilah aku kelapangan hati, berilah kami rezeki yang lebih baik dari apa yang aku terasa". Itu doa aku. Aku cuba menyedapkan hati dengan terus berdoa, berdoa dan berdoa.
Akhirnya tibalah saat berbuka puasa yang mana kami makan dengan puas pada hari itu. Tiada lagi terasa hati, tiada lagi lara di jiwa semuanya berakhir sudah. Paling tidak disangka, makanan kami ditaja oleh hamba Allah yang tidak kami kenal siapa dia. Semoga siapapun hamba Allah itu, agar dirahmati dan dilimpahkan rezeki yang berlipat ganda.
Kami pun dijemput oleh ibubapa setelah mereka selesai berbuka puasa. Syukurlah kami tidak menunggu lama untuk dijemput mereka. Merasalah juga aku makan beramai-ramai walaupun kami saling tidak mengenal.
Kami balik ke rumah dan tidak lama selepas itu kakak aku pun balik. Namun terdetik sedikit kehairanan padaku sepulangnya ke rumah kakak aku membawa makanan yang aku rasa ditapaunya dari restoran. Bilah ditanya, kakak aku beritahu bahawa mereka tidak puas makan di sana kerana hanya dihidangkan tulang ayam yang tidak berapa ada isinya, itupun dalam jumlah yang terhad. Minumannya pulak hanya dihidangkan air kopi panas. Menurut kakak, dalam keadaan yang haus seharian, minuman sejuk amat diperlukan. Aku tersentak dengan ceritanya. Teringat tadi aku sempat terasa hati kerana tidak dibawa dan aku berdoa agar diberi yang lebih baik dari apa yang aku singgungkan. Tak lama, Allah mengabulkan doaku itu. Menurut kakak, nasib baiklah aku tidak ikut kerana dia tahu aku ini penghidap gastrik, nanti bukan kenyang yang aku dapat, bertambah gastrik pulak yang menimpa.
Terdetik rasa simpati mendengar cerita kakak. di kala aku menikmati juada berbuka yang enak dan menyelerakan, mereka dalam majlis itu pula terpaksa memendam rasa kerana juadah yang dihidangkan tidak selari.
Tidak juga dapat dipersalahkan penganjur, kerana mungkin itu saja yang termampu dijamunya, tidak juga aku menyalahkan kakak kerana terpaksa tidak membawa aku. Ini sudah ditakdirkan Allah SWT. Dan pengajarannya, janganlah mudah mengambil hati jika sesuatu perkara yang tidak kita ingini berlaku kepada kita. Mohonlah doa kepadaNya agar diberikan hati yang bersih, dijauhkan dari perasaan bukan-bukan dan kita tidak seharusnya berkecil hati kerana masing-masing ada rezeki tersendiri yang sudah ditetapkan Allah.
Ulasan
Catat Ulasan