Ujianku berakhir sudah
Assamualaikum. Dalam keadaanku yang sudah stabil ini aku ingin mencoretkan suatu kisah yang baru saja terjadi terhadap diriku pada sekitar bulan oktober yang lalu. Semoga kita semua mengambil pengajaran dari kisahku yang akan aku tulis di bawah ini.
Sebagaimana yang diketahui oleh sebahagian masyarakat khasnya masyarakat di fbKu ini, aku adalah seorang insan yang Allah kurniakan bermasalah penglihatan. Namun begitu walaupun bermasalah penglihatan, aku masih bersyukur kerana Allah masih memberi aku peluang untuk melihat siang dan malam dan indahnya alam semesta ciptaanNya walaupun tidak seperti insan normal yang lain.
Penglihatan yang sedikit kurniaan Allah inilah membolehkan aku tidak terlalu bergantung harap pada ihsan orang 100 peratus sekalipun keadaan penglihatanku ini memerlukan bantuan sampingan dari mereka-mereka yang celik matanya. Maaf cakaplah semua, Penglihatan yang sedikit ini jugalah yang membolehkan aku mengurus diri dan keperluan sehari-hari termasuk apabila melihat peringkat darah haid yang melanda setiap bulan.
Tetapi langit tidak selalunya cerah. Dikala aku sibuk dengan urusan dunia Allah tiba-tiba mendatangkan ujian yang agak membuatku bimbang, takut dan tertekan. Sekitar awal oktober semasa aku menikmati makan malam, tiba-tiba aku merasakan lain pada mataku. Mata sebelah kiri yang merupakan mata harapan seperti ada benda asing. Pada mulanya aku ingatkan ia adalah air bekas aku mencuci tangan sebelum makan tadi. Tetapi bila aku kuis-kuis, benda asing itu tetap berada di mata ini dan enggan berganjak dari mataku.
Pada ketika inilah pandanganku kabur dan setentunya aku tidak selesa kerananya.
Ketakutanku pada ketika ini Allah sahaja yang Maha Mengetahui kerana aku teringat pada 10 tahun yang silam, mata kananku mengalami nasib yang sama yang mana ketika itu mata kananku ditumbuhi selaput putih. Oleh kerana simtem yang sama pada mata kiri, aku jadi gerun dan semakin tertekan.
Keasyikanku menikmati spagetty airtanganku punah dengan tiba-tiba dan hilang seleraku kerana masalah yang tiba-tiba sahaja menjelma tanpa dipinta. Namun begitu aku mesti meneruskan makan malam ini kerana jika aku berhenti makan, gastrikku akan muncul dan itu akan lebih menyakitkan.
Selepas aku menikmati juadah, aku berhasrat mengadu kepada orang-orang di rumah ini. Orang yang pertama kali aku minta kepastian adalah abang iparku kerana dia antara orang yang paling selesa untuk aku mengadu.
Setelah abang iparku melihat ke dalam mata, dia memberitahu bahawa mataku terkena selaput putih tetapi ia masih peringkat awal. Apabila pasti yang mataku telah ditumbuhi selaput, aku pergi ke arah mama untuk memberitahu perkara yang menimpaku.
Sebenarnya boleh sahaja aku diamkan perkara ini dari pengetahuan mama dan pergi ke hospital sahaja dengan orang lain, tetapi jika apa-apa berlaku terhadap mata dan diriku, nanti timbul pulak kekesalan di hatinya.
Aku meminta supaya aku dibawa ke klinik berhampiran terlebih dulu sebelum ke hospital RIPAs keesokan harinya namun keadaan masa tidak mengizinkan kerana mama ada urusan besok paginya. Akhirnya terpaksalah lusa aku dibawa ke klinik.
Tiba di klinik, alhamdulillah aku tidak menunggu lama. Mungkin disebabkan ada sistem bruhims menyebabkan masa menunggu tidak seperti dahulu sebelum bruhims diperkenalkan.
Bila berjumpa doktor aku ceritakan apa yang berlaku dan seterusnya aku diperiksa. Sebagaimana kelaziman selepas mataku diperiksa, aku dirujuk ke hospital ripas pada 24 Oktober untuk berjumpa pakar mata di sana. Aku meminta agar aku diperiksa oleh DR Lim, doktor mata yang pernah merawat serta mengikis selaput mata kananku sebelum ini. Aku bersyukur kerana Dr Lim masih berkhidmad di hospital RIPAS.
10 tahun yang lepas aku lama menanggung sensara kerana lambat dipertemukan dengan dr lim. aku ke RIPAS beBerapa kali tetapi dr lain mengatakan bahawa tidak perlu aku dirawat kerana aku tetap buta. Justeru itulah aku tetap inginkan dr lim memeriksa dan seterusnya kalau ada, apa-apa dia tahu nak buat apa kerana aku bekas pesakitnya dulu.
tiba masa yang dijanjikan (24 oktober 2020), aku ke RIPAS berjumpa dr lim dan kebetulan pada tarikh itu tercatat satu berita duka bagi rakyat negara ini kerana mangkatnya seorang kerabat diraja.
Dr Lim memeriksa mataku dengan teliti bukan saja di mata kiri malahan mata kanan yang pernah dirawat juga tidak terlepas dari pemeriksaannya. Walaupun aku tidak selesa kerana mataku disuluh, tetapi demi kesembuhan, aku relakan sahaja. Anehnya dr tidak dapat mendiaknos masalah mata kiri ini. Apabila aku beritahu yang aku terkena selaput, dr itu menafikan kerana hasil dari pemeriksaan, selaput itu tiada. Pada waktu ini mataku bengkak habis, tidak selesa nak buka mata. Sepanjang proses nak jumpa dr lim, aku lebih banyak memejamkan mata kerana jika mata ini dibuka, maka aku akan mengalami kesakitan yang amat sangat dan pandanganku semestinyalah kabur seolah-olah berada dalam asap.
Dr memberiku beberapa jenis ubat dan menyuruh aku datang lagi pada 9 november ini untuk pemeriksaan lanjut. Jenis-jenis ubat ada 3.
1. Jenis air tetapi melekik yang mesti aku titikkan ke mata kiri 6 kali sehari. Maknanya aku perlu menitik ubat ini 4 jam sekali dalam sehari.
2. ubat titik jenis air biasa. Aku kena menitikkan ubat ini 4 kali sehari. Maknanya 6 jam sekali dalam sehari.
3. jenis krim yang perlu aku sapukan ke bibir mata. ubat jenis ini aku kena pakai 3 kali sehari (setiap 8 jam sekali dalam sehari.
Bila aku titikkan ubat ini aku terpaksa menurut rentak ubat. Aku akan mengantuk apabila menitik ubat-ubat tersebut. Aku merasa letih dan lemas kerana asyik mengantuk. Siapalah boleh tahan?
Aku semakin stress sehingga terbawa-bawa dalam status whatsapp. Aku perlu meluahkan kerana aku rasa, tiada siapa tempat aku meluahkan. Ya, aku tahu Allah tu ada, tetapi disamping itu, aku kena luah supaya aku tidak tambah tertekan kerana masalah ini.
Lupa aku beritahu, dr yang merawat aku tu cakap, mataku ini akan memakan masa untuk sembuh. Kira-kira 3 ke 6 bulan aku akan mengalami masalah ini. Allah! lama tuuuuuu.... Seksa saya... Tolonglah ya Allah.
Tanpaku duga, dalam banyak-banyak kontek dalam whatsapp yang melihat statusku yang dalam ketertekanan, ada seorang hamba Allah yang ambil perhatian dan menunggu masa untuk bertindak. Tidak perlu rasanya aku beritahu siapa orang itu tetapi bagi mereka yang tahu, maka tahulah.
Pada suatu petang dikala aku sedang berehat dan bertarung dengan sakit mata yang makin membengkak dan mengabur, aku menerima panggilan whatsapp dari hamba Allah itu. Aku pun jawab panggilannya walau pada mulanya hatiku keberatan untuk menjawab panggilan darinya. Aku dalam keadaan begini tiada nafsu untuk bersembang.
Setelah dijawab, hamba Allah itu bertanya keadaanku dan aku cerita apa yang berlaku. Dia menawarkan diri untuk membantu merawat siapa tahu ia akan dapat meringankan walaupun sedikit. Aku pada mulanya menolak dengan memberinya pelbagai alasan. Aku kurang percaya pada rawatan yang lain dari hospital. Bagiku rawatan luar hanya sia-sia dan mengarut.
Dia tetap tidak berputus asa dan terus memujuk. Dia juga mempersoalkan, kenapa aku tidak berusaha untuk dapatkan rawatan luar selain dari rawatan hospital? bukankah Allah suruh kita sebagai hamba berusaha? Berhasil atau tidak, itu bukan urusan kita, semuanya atas izinNya jua.
Aku merasa serbasalah, setelah mendapat nasihat dari kakak, aku pun menerima tawaran hamba Allah itu.
Aku tidak tahu apa yang berlaku ketika aku dirawat, tetapi sepanjang proses rawatan secara islam, aku ditemani oleh orang yang aku percaya jadi tidaklah aku merasa canggung.
Mereka ada membuat video sepanjang rawatanku tetapi aku belum bersedia untuk menyaksikan video itu. Biarlah ia menjadi misteri entah sampai bila. Mungkin bila dah bersedia aku akan tengok video itu.
Pendek cerita alhamdulillah, setelah mendapat rawatan dari hamba Allah itu, mataku yang membengkak awalnya susah untuk sembuh semakin membaik. Kabur yang ada di mata ini pun semakin, hilang walaupun ia secara perlahan. Yakinlah sekarang bahawa mata kiri ini bukan angkara selaput putih sepertimana kata dr Lim yang merawatku dulu.
Aku tidak tahu sumber dari mana makanya mata ini semakin pulih. Dari hospital atau dari rawatan luar yang aku jalani. Tetapi aku percaya Allah telah memberkati dan memberi izin usahaku ini.
Aku terfikir satu benda, dr yang memeriksa mata memberitahu mataku akan memakan masa untuk sembuh. Timbul sedikit keyakinan di benak ini bahawa punca rawatan secara sampingan mungkin antara sebabnya.
9 novemver, aku bersua lagi dengan dr lim. Aku diperiksa dan ketika ini mataku sudah jauh membaik. Apabila diperiksa, dia tergamam kerana jangkaannya meleset. Apa yang boleh aku katakan, apabila mendengar penerangan dari dr itu, aku rasa ingin menangis kerana aku juga tidak percaya. antara kata-kata dr yang aku ingat, "bila baiknya mata kita ani?" aku cakap "seminggu sudah dr". "wahh!! thats good. actually mata kita ani belum lagi boleh baik, baik pun ia memakan masa ah. ani goodlah, inda biasanya pesakit progress secapat ani".
Dalam hatiku pada waktu itu jika boleh dirakam segala penerangan dr itu aku akann simpan jadi kenangan namun apakan daya, aku terlupa merakamkannya.
Sebelum berpisah, aku diberikan satu lagi jenis ubat yang mesti aku titikkan 4 kali sehari selepas seminggu aku guna ubat yang lama. Selepas ini juga katanya, aku tidak perlu lagi berjumpa dr terkecuali ada masalah yang sama. Namun kata dr, masalah yang baru saja aku hadapi ini tidak akan berulang lagi. Harapnya begitulah, tak sanggup aku menghadapi dugaan berat ini.
Aku tidak pernah berharap pun mataku akan seterang kamu yang normel, tetapi cukuplah penglihatan yang asal Allah bagi, janganlah diambil dahulu kerana aku masih memerlukanya.
Sekianlah, penat dah aku tulis, semoga yang tengah sedih dan ditimpa ujian dan masalah, agar berserah dan jangan lupakan berusaha.
Disini juga aku ingin mengucapkan terimakasih kepada mereka-mereka yang terlibat membantu baik secara aku tahu atau diluar pengetahuan. Semoga Allah sahaja yang akan membalas baik pertologan kalian. Terimakasih kakak, terimakasih abang ipar, terimakasih mama, terimakasih bapa, terimakasih dr lim dan staf-staf yang membantu, terimakasih misi dan akhir sekali terimakasih yang menawarkan diri untuk merawat. Semoga kamu semua sentiasa dibawa berkah dan rahmat Allah, semoga semua akan dibantu jika ditimpa masalah dan ujian. ameen.
Ulasan
Catat Ulasan