aku fobia
Dulu aku gemar lepak dan menginap di rumah orang. Bagiku itulah masa yang paling seronok kerana dapat berkumpul dengan orang yang disukai. Rumah sanak saudara, kawan-kawan dan sesiapa sahaja yang serasi bagiku, aku akan menginap di rumah mereka barang sehari dua kadangkala sampai seminggu pun ada.
Ini adalah kejadian yang benar-benar berlaku sehingga membuatkan aku trauma pada panahan lampu. Begini kisahnya...
Pada pengakhir 90-an, aku menginap di rumah salah seorang yang agak serasi dan rapat denganku. acap kali juga aku melepak dan tidak ketinggalan menginap di rumahnya. Orang yang tempat aku menginap ini sekepala denganku. Kami boleh berbual apa-apa saja jenis topik sehingga tidak terasa masa berlalu. Sebelum tidur pun kami berborak hingga terlelap.
Mungkin aku langkah kiri pada hari itu. Suatu hari ketika aku menginap di rumahnya, aku dikejutkan dengan kejadian yang menakutkan dan tidak pernah aku bayangkan akan mengalaminya sendiri. Selama ini hanya kedengaran di televisyen dan radio dan di media-media masa tentang kes rompakan dan pecah masuk rumah.
Terlebih dahulu biarlah aku ceritakan sedikit keadaan rumah itu. Rumah tu taklah berapa besar sesuai untuk memuatkan keluarga yang kecil sahaja. Rumah itu mempunyai 2 bilik termasuk bilik utama dan 1 ruang tamu serta dapur dan tandas. Sebahagian keluarga terpaksa menggunakan ruang tamu untuk tidur kerana bilik satu lagi untuk menyimpan pakaian dan tempat menggosok baju atau bahasa Bruneinya 'menerikah'. di bilik utama ialah tempat aku bersama orang yang aku serasi itu tidur dan menghabiskan masa melepak dan sebagainya.
Dah selesai aku cerita keadaan rumahnya, ok sekarang mula... 1, 2, 3!
Suatu malam ketika aku bersama seseorang itu sedang tidur, aku dan dia dikejutkan dengan bunyi bising dari luar bilik kami. Seseorang yang sedang bersama-samaku tidur terjaga lalu cuba mengintai dari dalam punca bunyi yang bising itu.
Apabila pintu dibuka sedikit, nampaklah olehnya keluarganya diluar yang terdiri dari ibubapa dan beberapa orang adik beradiknya sedang 'ditawan' oleh orang yang tidak dikenali. Rupa-rupanya rumah ini telah dipecah masuk dan masing-masing masa itu diancam agar tidak membuat bising jika ingin nyawa selamat. Menurut orang yang masih bersamaku di bilik itu, orang yang tidak dikenali itu bertopeng hingga tidak dapat dikenali. Hanya suaranya sahaja yang kedengaran.
Kerana terdorong rasa takut dan ingin selamat, tanpa berlengah aku segera turun dari katil dan bersembunyi di bawahnya. Orang yang bersamaku ini pula menangis kerana ketakutan. Nasib baik juga ada kolong dapat juga aku bersembunyi, dalam hatiku berkata.
Perompak yang berada di luar tadi dengan segera meluru masuk ke dalam bilik kami lalu menolak orang yang sedang menangis itu sambil berkata "ishhhh jangan bisingg... jangan bising... jangan begaraaak!!!"
Masih aku ingat suara perompak yang sedang melakukan jenayah di rumah itu. suaranya garau dan macam warga tempatan berdasarkan percakapan. Wallahu aklam, itu saja yang aku tahu.
Setelah perompak itu masuk ke bilik, dia menyuruh orang yang ditolak tadi untuk baring dan jangan cuba melawan dan jangan sesekali bergerak. Memandangkan aku berada di bawah katil dan kurang penglihatan pulak, aku tidak tahu apa senjata yang dibawanya hinggakan orang-orang di rumah itu ketakutan dan tidak berani melawan.
Apabila kami di dalam bilik itu diam, dia mula menggeledah bilik itu sambil berkata berulang kali "jangan begarak... jangan cuba begarak... (sambil menggoyang-goyangkan lampu sulu yang dibawanya) diam sajaaa!" dari bawah katil yang ditutupi cadar, aku ternampak dalam keadaan mata ini yang terbatas cahaya yang dihalakan di seluruh penjuru bilik. Aku yakin, ianya adalah lampu suluh mungkin hendak mencari barang berharga di bilik itu.
Dalam keadaan yang kalut itu aku berdoa tidak hentinya agar aku tidak diapa-apakan, janganlah keberadaanku yang sedang bersembunyi di bawah katil ini diketahui, janganlah lampu suluhnya sampai menyuluh di bawah katil ini. Sesungguhnya waktu itu tuhan saja yang tahu bagaimana hati dan perasaanku.
Ketika itu juga aku bertawakal dan teringat keluarga di rumah, menyesal juga aku yang sering mengabaikan nasihat ibubapa supaya aku jangan selalu menginap di rumah orang. Ingin sekali aku pulang ke rumah pada waktu itu juga tetapi apa daya, aku terperangkap.
bersyukur juga dan lega hati ini pabila katil itu ditutupi dengan cadar yang agak gelap dan tebal, sekaligus aku rasa terlindungi. Terdapat juga barang di bawah kolong itu. Aku tidak tahu kenapa pencuri itu tidak menggeledah hingga di bawah katil. mungkin Allah tidak menggerakkan hatinya untuk menggeledah sampai ke sana.
Cara penjenayah itu menggoyang dan menyuluh amat ganas dan laju sehingga tiada ruang pun di dalam bilik terlepas dari suluhan lampu terkecuali di bawah katil tempat aku sedang bersembunyi.
Penjenayah itu hanya berseorangan kerana sepanjang jenayah dilakukan di rumah itu, tiada suara lain melainkan suaranya sahaja. Tak pastilah kalau rakan sejenayahnya sedang berkawal di luar.
Akhirnya setelah beberapa lama, penjenayah itu pun keluar dari bilik. Terdengar jua dia membawa sesuatu barang. Apa barangnya aku tidak pasti.
Berakhirnya kisah menakutkan untuk malam itu. Sepanjang malam kami tidak dapat tidur. Namun sayang seribu kali sayang, keluarga berkenaan enggan melapor ke pihak berwajib kerana tidak mahu memanjangkan cerita. Tindakan ini aku rasa kurang bijak kerana jenayah tidak seharusnya dibiarkan begitu saja.
Menurut mereka, mereka kehilangan satu beg barang kemas yang disimpan dalam bilik yang digeledah tadi yang aku tidak pasti berapa jumlahnya. ah, mungkin barang yang dibawa dari bilik itu barangkali yang dimaksud keluarga itu.
Pagi itu aku tidak berlengah, aku pulang ke rumah dan bertekat, tidak akan mahu lagi bermalam di rumah orang. Kena juga aku sebiji diceramah hari itu. Semenjak itu juga aku trauma pabila melihat lampu pabila berada di dalam gelap gelita. Ini tidak mengira samada lampu suluh, lampu dari telefon bimbit, lilin dan apa jua jenis lampu kecil. Apatah lagi bila lampu itu digoyang-goyang kerana itu akan mengingatkan aku pada kisah lalu.
Entah sampai bila trauma ini akan menghantui diriku, sehingga kini aku mengelak jika dalam keadaan gelap lampu suluh dinyalakan. Mungkinkah ia akan menghantui seumur hidup? adakah aku mempunyai sikap yang mudah trauma? Aku tidak tahu.
Ada beberapa kisah lagi yang membuatku trauma hingga sekarang. Kisah-kisah itu biar aku cerita kemudian. Maaf aku tidak boleh memberitahu secara terperinci mereka yang terlibat untuk menjaga hati dan sensetiviti keluarga berkenaan. Aku pun buntu menamakan mereka jadi aku bahasakan 'orang' dan 'keluarga' sahaja sebagai ganti nama diri yang terlibat. Sekian dulu cerita untuk kali ini.
Janganlah marah jika aku beri seribu alasan jika diajak bermalam, sesungguhnya, aku masih takut! Agak kesal juga kerana segelintir kita takut untuk ke hadapan jika menjadi mangsa. Kita ada hak untuk mempertahankan harta benda dari dicerobohi, salah satunya melaporkan kepada pihak berkuasa.
Aku pun tak kuasa untuk turut campur kerana itu adalah pendirian keluarga yang terlibat. Mungkin mereka malas hendak panjang kes.
Ulasan
Catat Ulasan