Caknalah...

Kisah ini berlaku 4-5 tahun yang lalu ketika aku mengikuti keluarga melancong ke Kota Kinabalu Sabah. Ketika itu musim cuti persekolahan tetapi bukan penghujung tahun. Aku pun tidak ingat bulan keberapa tetapi ia adalah penggal kedua akhir sebelum cuti panjang bulan Disember.


Ketika itu rombongan keluargaku tidak lengkap kerana kakak dan suami melancong ke tempat lain manakala adik bongsuku enggan ikut kerana tidak dapat cuti. Rombongan  itu hanya disertai bapa, mama, adik perempuan dan aku.


Pada mulanya semuanya berjalan baik dan lancar. Kereta pun tidak panjang kerana kebiasaannya kereta akan berderet semasa cuti penghujung tahun. Kami tidak perlu lama untuk sampai ke destinasi tujuan. Sampai sahaja di destinasi, kereta kami pun memandu ke arah sebuah hotel yang mana kami akan menginap dua tiga hari ini.


Setelah menguruskan apa yang patut, berehat seketika, kami pun meneruskan rancangan ke sebuah shopping mall yang bernama 1 Borneo. Bagi rakan-rakan fb khususnya pelancong Brunei pasti mengenali 1 Borneo ini. Oh ya, di zaman itu belum lagi terdiri megah Imago Shopping Mall yang mana kedai itu pun amat terkenal yang wajib dikunjungi pelancong luar negara termasuk pelancong negara ini.


Kami pun meronda di sekitar pusat membeli belah itu. Masing-masing menunjukkan rasa gembira kerana berpeluang membeli belah di sebuah pasaraya yang cukup gah dan besar ketika itu.


Kami singgah di sebuah kedai kasut di pusat membeli belah itu. Tingkat berapa aku tidak berapa pasti tetapi kejadian ini tetap ku ingati sebagai kedai menjual kasut.


Sebenarnya ketika melancong itu aku tidak berapa seronok kerana rombongan kami tidak lengkap tambahan lagi ketiadaan kakak membuatku merasa ada yang kurang dan serba tak kena.


Akhirnya aku disuruh duduk di kerusi yang disediakan di kedai kasut itu sementara menunggu yang lain melihat-lihat kasut. Baik juga, dapat aku berehat kerana aku tiada hajat dan mood untuk bersenang-senang ketika itu. Agak lama juga aku duduk di kerusi dan tanpa ku sedari, ada sesuatu yang terjadi...


Rupa-rupanya aku ditinggalkan di kedai itu kerana mereka terlupa akann diriku yang sedang duduk menunggu di sana. Pada mulanya aku tidak kisah kerana lama menunggu namun lama kelamaan setelah sekian lama mereka tidak muncul dan suara mereka pun tidak kedengaran, hatiku rasa tak sedap menyebabkan aku bangkit dari kerusi dan mula melilau mencari mereka.


Mungkin cara jalanku yang teragak-agak di setiap sudut kedai menyebabkan seorang staf di kedai itu menegurku dan bertanya apa sebenarnya yang berlaku. Aku berkata hendak mencari individu yang menyuruh aku duduk tadi. Alangkah terkejutnya aku bila staf kedai memberitahu bahawa mereka sudah keluar dari kedai.


Hanya Allah saja yang Maha Mengetahui apabila diberitahu oleh staf kedai yang mereka (keluarga) sudah meninggalkan kedai sekaligus meninggalkan aku di kedai ini.


Aku tidak kenal akan sikap masyarakat dan suasana di sini menyebabkan aku risau tidak karuan. Akupun cuba meminta tolong staf bagi meminjamkanku telefon agar dapat aku hubungi keluarga yang mungkin sudah meninggalkan tempat itu. Namun staf kedai memberitahu bahawa kedai mereka tidak membenarkan orang lain menggunakan telefon mereka. Dia sendiri pun tidak mencukupi kad tambah nilai bagi meminjamkan aku telefon.


Aku agak kecewa dengan semua ini dan akhirnya berbekalkan tawakal dan doa, aku capai telefon bimbit yang ada di dalam beg tangan lalu dengan jari yang terketar-ketar aku dail nombor keluarga. Nombor mama adalah nombor yang paling aku ingati.


Memandangkan aku berada di luar kawasan Brunei, simkad ini tidak dapat mendail terus ke nombor yang dihajati. Aku terpaksa menggunakan romming untuk membolehkan aku menghubungi keluarga. Menggunakan perkhidmatan romming pasti dikenakan caj, tetapi keadaan genting yang berlaku sekarang menyebabkan aku tidak kisah dengan caj yang bakal dikenakan kepadaku.


Akhirnya setelah mendail secara menual, panggilanku disambungkan ke arah telefon mama. Bila dijawab saja panggilan, aku berttanya sambil dalam ketakutan di manakah mereka dan kenapa aku ditinggalkan. Mama terkejut dengan semua ini dan mendakwa bahawa dia terlupa kewujudanku. Astaghfirullah!!


Kalaulah begini jadinya, baiklah aku tak payah ikut. Duduk rumah lagi selamat. Terkilan aku dengan kealpaan mereka. Kalau susah sangat nak membawa, baiklah tak payah. Aku boleh sahaja duduk di rumah dan mereka boleh bergembira di Kk tampa harus memikul beban memimpin si buta.


Mama mendakwa mereka baru sahaja keluar dalam 20 minit dari 1 borneo dan sekarang sedang menuju ke destinasi seterusnya. Aku tidak mahu ambil tahu kemana lagi destinasi seterusnya yang mereka hajati tetapi aku lebih bimbangkan tentang diriku.


Aku amat takut kernaa sekarang macam-macam boleh terjadi apatah lagi di luar negara. Tidaklah aku mengatakan masyarakat Kk ni tak baik, tetapi langkah berjaga-jaga itu perlu, aku sedar aku ini mengharapkan ihsan orang dek kerana keadaanku yang kurang penglihatan atau bahasa lain, 'buta'.


Dari celah telefon bimbitku kedengaran suara bapa yang sedang memarahi mama kerana kealpaannya sehingga aku boleh tertinggal. Sempat lagi mama bertanya adakah kredit telefonku cukup untuk membuat panggilan yang lebih lama sehingga mereka sampai ke tempat ini semula mengambil diriku. Aku kata itu tidak penting, yang penting jemput aku dengan segera dari sini.


Untuk pengetahuan semua, aku memang gemar mengumpul tambah nilai hingga ratusan ringgit. Aku takut di suatu masa ada gunanya dan aku tidak menduga yang ia berguna untuk masa kecemasan seperti sekarang ini.


Sepanjang mereka dalam perjalanan menuju ke pasaraya ini, staf kedai menemaniku dan mama berulangkali bertanya keadaanku. Aku cukup marah dengan semua ini, boleh terlupa?


Akhirnya setelah menunggu sambil masih setia di gagang telefon mereka pun sampai ke kedai kasut. Aku dijemput dan terus menuju ke kereta.


Dalam keadaanku yang masih cemas dan marah, mereka menambah lagi sakit di hati apabila menyalahkan aku. Apa salah aku? kenapa tidak disalahkan orang yang cuai dan alpa sehingga menyebabkan aku tertinggal di kedai kasut? Nasib baiklah aku jumpa orang baik sepanjang peninggalan mereka, kalau tidak? apa yang akan berlaku aku pun tak tahu.


Aku masih ingat lagi antara kata-kata salah seorang dari mereka agar aku jangan lagi dibawa atau ikut bila mereka melancong. Menurut orang itu, aku ini hanya menyusahkan mereka.


Aku jenis suka berterus terang dan melawan jika aku rasa perkara itu tak betul. Aku ingin membela diri dann tidak ingin hanya berdiam. Aku bidas balik, siapa yang terhegeh-hegeh nak ikut? aku pun tak ingin sebenarnya, aku lebih suka di rumah atau mengikuti rombongan yang tidak alpa dan tidak mementingkan diri sendiri. Kerana tidak mahu aku menjawab panjang lebar dan tidak mahu ketegangan memuncak, mama menenangkanku dan mengakui kesalahannya serta meminta maaf.


Akhirnya cerita itu berlalu dan kami kembali ke hotel berehat sekejap. Semenjak dari itu aku tiada lagi berselera untuk meneruskan perjalanan. Aku dengan perasaan sedih yang masih berbaki, meminta agar aku di hotel sahaja untuk masa ini. Beri aku masa dan ruang untuk berehat kerana masa genting itu, aku yang mengalami dan merasanya.


Dalam hatiku bersyukur kerana selamat, nasib baiklah aku punya banyak tambah nilai telefon hingga membolehkan aku hubungi mereka. Kejadian seperti inilah yang menyebabkan aku gemar mengumpul kredit easi ratusan ringgit.


Dalam masa berehat itu aku sempat juga memeriksa jumlah kredit yang dimakan. Sepertimana yang dijangka, Romming mesti dikenakan caj yang mahal bukan macam berhubung di dalam negara. Aku kehilangan bnd62.14 hanya untuk terus setia di talian sehingga mereka sampai. Dahsyat!!!


Aku mengakui, mama memang jenis pelupa, aku dapati beberapa kali sepanjang aku hidup dia terlupa sedangkan kami di bawah pimpinannya. tertinggal di dalam negara aku boleh terima, kerana aku tahu selok-belok dan kemana arahh yang harus aku pintai bantuan jika perlu. namun tertinggalnya aku di kedai luar negara sungguh membuatku seram dan siriau.


Sehingga kini, jumlah kredit di telefon ini banyak, dan aku tidak akan merubah sikap ini kerana di suatu masa, macam-macam boleh terjadi.


Akhirnya, untuk insan sempurna yang bertanggungjawab membawa OKU tidak kira apa jenisnya, sila peka dan cakna akan hal keselamatan mereka. Jangan sesekali alpa dan leka kerana dibuai keseronokan. Jika anda ingin berseronok tanpa beban, sila jangan bawa orang yang konon menyusahkan. Jangan cuba menyalahkan orang yang dibawah penjagaan kamu kerana kealpaan sendiri. Sekian lama aku simpan perkara ini dan baru sekarang, aku siarkannya. Walaupun dah lama, tetapi aku sukar melupakan perkara yang dah terjadi. Aku harap tiada spekulasi yang dibuat atas kisah benar ini. Aku hanya bercerita untuk peringatan kita semua termasuk OKU dan diri sendiri. Aku nak tulis ni pun kena fikir banyak kali. 

Ulasan