Kakak sawan lagi.

 Walaupun masih terkejut aku ingin sekali menceritakan satu tragedi yang tidak disangka yang berlaku pada tengahari tadi. Mungkin anda masih ingat akan peristiwa yang pernah aku ceritakan di ruangan ini mengenai kakak kesayangan aku yang pengsan kerana terjatuh di dapur pada sekitar Mei yang lalu dan hari ini, tragedi itu berulang kembali. Inilah kisahnya...


Pada waktu tengahari kami seperti biasa menikmati juadah. Kali ini kami hanya makan nasi bungkus saja kerana masing-masing malas hendak memasak. Adalah yang rajin memasak ayam gril. Sementara menunggu ayam dibakar siap masak, kami makan nasi bungkus terlebih dahulu.


Akan tetapi entah mengapa hatiku ini rasa tak sedap pada tengahari itu sehingga hilang seleraku untuk menikmati hidangan walaupun aku terasa lapar. Aku abaikan perasaan itu kerana sangkaanku ia hanya perasaan bukan-bukan yang tidak harus dilayan. Masa itu bukan aku sahaja yang ada bersama kakak di ruang tamu tetapi kami ditemani oleh mama dan seorang anak kecil. Aku masih ingat lagi kami makan hanya duduk di atas lantai. Aku dan kakak pula duduk di tangga yang dilapisi permaidani. 


Aku dan kakak makan sambil berbual kerana itulah kebiasaan kami berbual tak pandai habis topik. Dipendekkan cerita ketika mama meninggalkan aku dan kakak di ruang tamu tiba-tiba sesuatu yang diluar dugaan terjadi.


Mungkin sudah ditakdirkan dan atas kehendak Allah ketika mama ke dapur mengambil nasi bagi memberi makan si kecil, kakak aku yang duduk di tangga bersama-samaku terbaring dengan tiba-tiba. Sebelum dia terbaring, kakak aku ni berniat untuk berdiri membuang sampah bekas nasi bungkusnya yang sudah habis dan ianya tidak kesampaian kerana kakak aku dah terbaring.


Aku terkejut kerana kejadian ini. Masa kakak aku terbaring, nafasnya berbunyi dan terdengar olehku yang belakang kepalanya terhantuk pada tangga. Aku cuba memangku kepala kakak yang terhantuk untuk mengelakkan ia terhantuk tetapi apakan daya kejadian itu terlalu cepat hinggakan aku tidak sempat menyelamatkan kepalanya.


Masa kakak aku tu terbaring, sebelah kakinya ternaik ke atas. Ini di luar kebiasaan kerana jika dalam keadaan normal, mustahil kaki boleh naik seperti itu hingga lututnya mencecah ke perutnya. Aku panggil-panggil dirinya tetapi malangnya  tidak bersahut. 


Aku dengan perasaan cemas segera memegang kakak aku dan aku dapati, nafasnya terhenti, tangan dan kakinya kaku bagaikan tiada darah. Ya Allah, tolonglah aku, jangan kau ambil dulu kakak aku kerana aku masih memerlukan dan tidak mahu kehilangannya. Bagiku dialah satu-satunya kekuatan yang ada padaku di dunia ini.


Dengan bertawakal kepada Allah sambil perasaanku cemas, aku kuatkan hati bangun mendapatkan mama yang sedang berada di dapur ketika itu. Walaupunn takut meninggalkan kakak seorang, namun aku mesti berbuat sesuatu untuk menyelamatkan kakak. Aku jerit sekuat hati untuk memberitahu bahawa kakak sudah pengsan dan tidak bernafas.


Dengan segera mama mendapatkan kakak di ruang tamu yang sedang terkapai-kapai mengharapkan bantuan kami.


Alhamdulillah aku bersyukur kerana rasa tak sedap hati itu menyebabkan aku enggan meninggalkan kakak walaupunn ketika itu aku ingin masuk ke bilik bagi merehatkan diri. Rupanya ini yang berlaku.


Mama sedaya upaya berusaha untuk menyedarkan kakak. Pada ketika itu, nafas kakak masih berhenti. Bapa pulak ada urusan di luar yang menyebabkan mama menyuruh aku menghubungi bapa untuk menyuruhnya balik ke rumah secepat mungkin. Baru aku berkira-kira mendail nombor bapa, dia pulang ke rumah dan segera masuk kerana mendengarkan riuh yang terjadi di dalam rumah.


Pada mulanya bapa berfikir orang lain yang pengsan tetapi bila didapatinya kakak yang pengsan, dia segera mendapatkan kakak yang sedang terbaring dan membaca surah-surah apa yang patut. Pada waktu itu dia hanya terfikir membaca ayatul kursi sebagai usaha untuk menyedarkan kakak yang kaku tidak bergerak. Badan kakak aku keras bagaikan tiada darah yang berjalan.  


Aku masih ingat nafas kakak aku terhenti dalam seminit dua.


Aku, bapa dan mama cuba sedaya mungkin untuk membangunkan kakak. Akhirnya setelah ayatul kursi dibaca beberapa kali, kakak pun mula membuka mata dan dia kembali bernafas walaupun mengeluarkan bunyi.


Sesedarnya dia dari pengsan, kami bertanya keadaan kakak. Pada mulanya dia tidak menjawab dan setelah ditanya sambil diurut sedikit, barulah dia menyahut dalam keadaan yang lemah. Suaranya pun berubah.


Selepas tu kakak memmuntahkan air dan makanan yang dimakannya tadi.


Semasa bapa dan mama berkomunkikasi dengan kakak, aku menghubungi abang ipar aku yang berada di pejabat sementara adik perempuan aku pulak menghubungi ambulan.


Sementara menunggu ambulan datang kakak meminta air kerana dia kehausan. Aku tak fikir apa dah masa tu hanya takut dan cemas kalau-kalau kakak aku ada apa-apa.


Pendek cerita ambulan dan abang ipar aku pun sampai dan kakak aku diperiksa kemudian dibawa menaiki ambulan untuk ke hospital RIPAS.


Fikiranku kosong waktu tu. Hatiku tak tenang dan ingin sekali berada di sisi kakak agar aku tahu perkembangannya. Tak puas rasanya jika mendapat berita dari orang.  Aku lebih suka mendengar sendiri apa yang berlaku sebenarnya terhadap kakak aku ni.


Aku pun menukar pakaian dan bersiap seringkas mungkin untuk mengikuti abang iparku ke hospital bagi bersama-sama kakak memberinya semangat dan sokongan dan paling penting, mengetahui perkembangan dirinya.


Pada mulanya bapa dan mama melarang kerana kononnya kalau aku ikut payah nanti abang ipar memimpin tetapi apa aku peduli, aku bukan berpimpin  pun dengan abang ipar, cukup sekadar aku pegang kerusi rodanya itu sahaja. Kerana aku tidak hiraukan nasihat mereka yang melarang aku ikut, mereka memujukku dan mengatakan petang nanti kami akan ke hospital untuk melawat kakak. Aku enggan, dalam keadaan genting sekarang lebih lagi ia berlaku terhadap orang yang cukup rapat dan susah senang bersama, aku nekat untuk ikut sahaja ke hospital.


Aku dah tak kisah walaupun aku mengantuk, yang penting, aku nak tahu kakak selamat dan sebagainya.


Di dalam kereta, kami hanya diam membisu. Aku pun hilang selera untuk bercakap. Hanya sesekali aku menjawab soalan yang ditanya oleh abang ipar akan apa yang berlaku sebentar tadi. Aku juga beritahu abang ipar bahawa kakak amat risau kerana esok kawannya menjemputnya untuk ke rumah sedangkan dia merasa tidak terdaya untuk menghadiri jemputan rakannya pada esok hari itu. Bagi aku dan abang ibar, perkara kesihatannya lebih penting dari memikirkan jemputan rakannya.


Akhirnya setelah menempuh perjalanan kira-kira 30 minit, kami pun sampai ke hospital di bahagian kecemasan. Kawalan dan SOP di sana sangat ketat dan kami terpaksa akur dengan SOP yang ditetapkan. Apa yang penting kami boleh bersama kakak, menemaninya dalam keadaan begini.


Apabila kami sampai ke bilik rawatan kakak, seorang doktor mendapatkan kami dan bertanya siapa saksi yang melihat kejadian kakak pengsan tadi dan abang ipar menunjuk ke arahku. Aku ceritakan apa yang berlaku semasa proses kakak aku pengsan. Nasib baiklah aku ikut ke hospital kerana keteranganku adalah mustahak untuk diambil kerana kakak aku tidak ingat apa yang terjadi.


Doktor tadi menyuruh berehat dahulu setelah selesai sesi soal balas dan memeriksa tekanan darah. Dia mengatakan akan berbincang dengan doktor di JPMC untuk tindakan seterusnya.


Dugaan lain yang diterima oleh kakak, semasa misi cuba mengambil darah, misi itu tak jumpa pun urat tangan kakak hinggakan kakak dicucuk banyak kali. Kakak kesakitan tetapi dia boleh bertahan. Menurutnya, masa dalam ambulan lagi, jururawat gagal mencari urat kakak untuk diambil darahnya.


Setelah menunggu sekian lama, staf hospital memberitahu kakak akan dibawa ke JPMC bagi diperiksa dan berkemungkinan dia tidak ditahan di JPMC. Dia akan hanya diperiksa dan dibagi ubat. Menurut doktor, memandangkan dah dua kali kakak aku ni pengsan, maka dia mungkin disahkan sawan dan akan begantung kepada ubat seumur hidup. Ya Allah! besarnya dugaan kakak aku... Hatiku sedih dan aku cuba menyembunyikan agar tidak diketahui sesiapa termasuk kakak. Kakak akan dibawa menggunakan ambulan dan aku bercadang untuk ikut serta naik ambulan bersama kakak.


Alhamdulillah abang iparku setuju setelah aku utarakan cadanganku. Senang dia menghubungi aku kalau ada apa-apa dan di mana kakak aku akan ditempatkan.


Tiba masanya kakak aku dipindahkan ke katil khas bagi menaiki ambulan. Staf yang bertugas bertanya adakah sesiapa yang akan mengikuti kakak naik ambulan. Abang ipar memberitahu aku yang akan ikut serta.


Selesai proses mengisi borang dan lain-lain, akhirnya katil khas yang membawa kakak aku disorong ke luar dan seterusnya menaiki ambulan.


Aku pula mengikut dari belakang bersama abang ipar. Setelah kakak dinaikkan barulah aku menaiki ambulan.


Ini adalah pengalaman pertama aku menaiki ambulan. Ia cukup mengujakan kerana ini adalah pengalaman baru bagiku. Keadaan di dalam ambulan cukup berbeza, ia hanya disediakan dua buah kerusi dan ruangan untuk menyimpan katil.


Dalam ambulan ada 3 staf terdiri dari 1 jururawat, 1 pembantu dan seorang pemandu.


Pergerakan ambulan itu laju, dia jalan terus tanpa berhenti. Sambil-sambil dalam perjalanan siren kecemasan dibunyikan. Terdetik rasa seram juga mendengar siren itu. Selama ini aku hanya mendengar bunyi dari luar, namun kini, aku sendiri yang naik ke dalamnya. Bunyi siren hanya dihentikan setelah kami mengampiri sampai ke JPMC. swasana Dalam ambulan itu juga tidak panas dan tidak sejuk, bagiku sesuai untuk membawa orang sakit. Di dalamnya juga dilengkapi walki talky yang memudahkan staf berkomunikasi.


Setelah menempuh perjalanan yang tanpa henti, kami akhirnya sampai juga ke tempat tujuan. Aku bersyukur kerana staf perempuan di ambulan itu sangat baik, memahami keadaanku dan dia bagaikan dah biasa berhadapan dengan OKU sepertiku ini. Dia tidak kekok dan canggung memimpin dan menunjukkan kerusi dan lain-lain kepadaku.


Aku sebenarnya nak memegang katil kakak, tetapi staf perempuan itu mempelawa aku berpimpin dengannya. Aku ikut saja.


Sampai ke bilik pemeriksaan, staf yang bertugas di dalam ambulan tadi menerangkan apa yang berlaku kepada staf yang bertugas di JPMC kemudian setelah selesai penerangan dan apa yang patut, kami ditinggalkan. Staf ambulan itu mungkin ada tugasan seterusnya selepas menghantar kami.


Tiba masanya kakak didatangi oleh doktor di JPMC dan menyoal kakak akan apa yang dirasainya, apa yang berlaku dan sebagainya. Selepas itu dia (doktor) pun memberi penerangan akan penyakit kakakku ini.


Seperti yang aku katakan di awal tadi, memandangkan ini adalah kali yang kedua kakak pengsan, maka kakak aku terpaksa mengonsumsi ubat seumur hidup tanpa boleh tertinggal. Walaupun doktor itu bertutur dalam bahasa asing, tetapi aku faham berbekalkan ilmu yang pernah aku tuntut dulu.


1. Kakak aku akan diberi ubat seumur hidupnya. Ubat itu mesti dimakan 2 kali sehari tanpa boleh terlupa. Jika ia terlupa, maka sesuatu akan berlaku kepadanya mungkin sawan datang kembali.

2. ubat itu akan bertambah dosnya setiap 2 minggu sekali hingga mencapai 1 gram. Allah! berat dugaanmu duhai kakak...

3. doktor itu mengatakan kesan sampingan ubat ini boleh menyebabkan mengantuk. Bila ditanya adakah kakak aku boleh memandu? abang ipar mengatakan kakak aku ni buta dan dia tak akan boleh memandu. Jadi tidaklah menjadi kerisauan tentang itu.

4. Jangan stress kerana stress adalah salah satu punca penyakit kakak aku ni. Bawa-bawalah menghiburkan hati jika didapati ia stress.

5. Kakak mesti cukup tidur kerana kalau tak cukup tidur, badannya akan letih dan ini adalah punca dia pengsan.

6. Jika kakak kurang sihat, jangan berlengah! segera bawa ke hospital kerana dia sekarang bukan lagi seperti dulu.

7. Walaupun mengonsumsi ubat seumur hidup, doktor mengatakan dia akan mengalami lagi pengsan justeru itu dia tidak digalakkan untuk bersendirian di rumah dan dimana saja. Doktor bertanya Kakak tinggal dengan siapa. Kami jawablah kakak tinggal bersama keluarga bukan seorang.

8. Jangan dipaksa bekerja, jika letih rehatlah dulu.


Itulah antara penerangan doktor yang aku ingat. Sebelum mengakhiri penerangan, doktor bertanya adakah kakak akan bersedia dengan memakan ubat seumur hidup dan segala pantang larang yang diberi? Kakak teragak-agak, tetapi aku yang ada disisi, memberinya dorongan dan semangat bagi menguatkannya. Aku cakap dengan kakak, yang dia mesti sembuh sebelum terima hujung bulan ini dan paling penting, dia mesti sembuh sebelum bonos kerana kebiasaannya suaminya akan membawanya bersiar-siar.


Akhirnya aku minta pada semua, agar mendoakan kesembuhan pada kakak aku, mudah-mudahan dia dilindungi dari segala penyakit yang merbahaya, Moga kakak tabah dalam menjalani kehidupan selepas ini, moga dia tabah memakan ubat yang terpaksa ditempuhinya seumur hidup. Semoga kejadian ini tidak akan berlaku lagi.


Aku masih terkejut, harap maaflah jika tulisan ini tidak difahami. Sampai sekarang pun, aku belum lagi ada hati untuk makan walaupun berlapar sedari tengahari tadi.


Sebenarnya ada juga aku membeli pizza, rancanganku untuk makan bersama kakak dan adik-adik aku, tetapi saiapa sangka Allah berkehendak lain.


Kami sekeluarga akan terus menyokong dan membantu kakak, aku akan sedia berkorban untuknya. Jika penyakitnya berpindah padaku aku rela asalkan dia bahagia kerana dialah kesayanganku di bumi ini.

Ulasan