Oku Membuli OKU

 Walaupun kisah ini berlaku bertahun lamanya, namun aku masih merasa geram apabila teringatkannya. Ianya berlaku sekitar tahun 2008 ketika aku belajar di salah sebuah institusi di negara ini. Aku bersama rakan senasib ditempatkan dalam satu kelas agar senang kami dipantau dan sebagainya. Bukanlah aku hendak bercerita tentang aib sesiapa tetapi semoga kisah ini sama-sama kita ambil pengajarannya.


Buli, ya ia berlaku dalam masyarakat kita. Kebiasaannya buli dilakukan oleh orang kuat terhadap orang yang lemah dan tidak mampu melawan.


Tetapi buli ini berlaku di kalangan rakan senasib, ikuti ceritaku.


Pada suatu hari di kala rehat menjelang tiba, seperti biasa kami dalam satu kelas berborak-borak pelbagai topik dan bergurau senda sambil menikmati minuman dan makanan yang disediakan mahupun yang dibawa dari rumah.. Di kalangan kami itu ada seorang insan bukan sahaja mengalami kecacatan mata tetapi dia adalah seorang yang lurus bendul. Tak perlulah aku nyatakan nama sebenar cukuplah sahaja aku namakan orang yang menjadi mangsa itu Mustapa dan pemangsa ku gelarkan sahaja dengan nama Fatimah kedua-duanya bukan nama sebenar.


Sebenarnya ada satu perangai Fatimah yang kurang malahan aku membenci iaitu suka meminta-minta topUp telefon dari orang. Kenapa aku tidak gemarkan sikap Fatimah ini? Jika meminta itu atas dasar keperluan dan dia tiada mempunyai wang, itu boleh dimaafkan tetapi dia juga menerima elaun bulanan dan elaun belajar sama seperti aku, mustapa dan yang lain-lain. dengan elaun belajar dan bulanan yang diterima, sekadar kad tambah nilai jumlah 5, 10, 20, 40 atau 100 tidak menjadi hal. Pantang ada kesempatan pastilah si Fatimah ini akan meminta belikan tambah nilai telefonnya ataupun meminta orang memindahkan kredit telefon pada telefonnya.


Berbalik pada cerita buli tadi. Sevenarnya banyak kali aku dapati dia terpinta-pinta kad tambah nilai tetapi aku tidak berapa hirau walaupun dalam hati allah sahaja yang mengetahui tahap benci di hatiku ini. Mungkin Allah tidak meredhai cara Fatimah selama ini yang sering meminta-minta. Pada waktu rehat itu ketika mereka sedang berbual, fatimah meminta izin pada si Mustapa untuk memegang telefon. Rupanya dia ada niat tidak baik terhadap Mustapa. 


Sambil mereka berbual, telefon Mustapa pula sudah berada di tangan Fatimah, telingaku tertangkap bunyi telefon bimbit Mustapa mendail 159 untuk memeriksa baki, menambah nilai, memeriksa panggilan terakhir dan lain-lain. Apabila aku teliti Fatimah menekan butang 2 untuk pertanyaan baki tambah nilai telefon Mustapa.


Pada mulanya aku menyangka Fatimah hanya ingin tahu jumlah baki yang ada di telefon Mustapa tetapi apabila aku terdengar lagi talian 159 dimatikan seterusnya dia menekan butang *105, tahulah aku yang dia hendak memindahkan kredit telefon Mustapa ke telefon bimbitnya.


Sempat juga aku dengarkan operator DST memberitahu jumlah easi yang ada dalam akaun Mustapa. Jumlahnya sekitar 50 lebih BND.


Pada ketika itu aku cuba juga menegur Fatimah pabila aku terdengar dia menekan butang 105 itu namun apalah dayaku. aku berniat untuk memberitahu dan memberi amaran pada Mustapa supaya berhati-hati tetapi mulut ini terkunci. Aku sebenarnya tidak diingini oleh fatimah disebabkan dia cemburu kononnya teman lelakinya menimpan hati padaku. Akhirnya aku mendiamkan diri dan hanya bersangka baik, dia tidak akan tergamak mencuri kredit telefon Muustapa.


Fatimah sungguh licik. Dia sengaja mengajak Mustapa dan beberapa rakan lain berborak sambil jari jemarinya mengetik telefon Mustapa bagi memindahkan tambah nilai ke telefon bimbitnya. Dengan buny suara ketawa dan sebagainya, suara ketikan telefon akan tenggelam. Semuanya berlalu seperti biasa dan tibalah saat untuk belajar setelah habis masa rehat yang ditetapkan.


Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh juga ke tanah. Keesokan harinya ketika kelas baru saja hendak bermula, ada seorang guru masuk ke kelas kami bagi menyampaikan sesuatu. Salam diberi dan mulalah guru tersebut bercakap dengan nada yang agak tegas dan tinggi. Menurut guru itu, ada salah seorang individu di kelas ini telah didapati mencuri kredit dari rakan. Walaupun tidak diberitahu siapa gerangan pencuri kredit telefon dan siapa yang telah menjadi mangsa curi, aku sudah dapat agak siapa yang dimaksudkan kerana peristiwa itu baru sahaja berlaku kelmarin. Menurut ustaz merangkap guru kami yang bertanggungjawab memantau dan menjaga kebajikan kami, penjaga mangsa curi itu telah membuat aduan apabila mendapati baki easi anaknya hanya tinggal 5.50 sahaja sedangkan jumlah asal 50 ringgit lebih. kemana perginya 50 lebih ringgit jika tidak dicuri? Kenapa jauh benar kurangnya dari jumlah asal? Betapa rakusnya pencuri itu menurut kata guru yang sedang bercakap dalam keadaan marah. Pun lagi kebiasaannya setiapkali selepas kita membuat pemindahan, satu sms akan dihantar yang memberitahu jumlah pemindahan termasuk yuran 50sen seterusnya sms itu memberitahu pemindahan telah berjaya.


Guru itu meminta agar individu yang terlibat mencuri kredit telefon akan memulangkan semula apa yang diambil jika tidak mahu tindakan tegas diambil. Tambah guru itu lagi, perbuatan mengambil hak orang tanpa izin adalah berdosa dan merupakan perbuatan yang amat keji apatah lagi ia dilakukan keatas orang yang lemah akal lagi lurus bendul. Bila sahaja diberitahu begitu, aku yakin, Mustapa yang menjadi mangsa dan pemangsanya tidak lain dan tidak bukan itulah Fatimah!


Meskipun aku yakin mustapa telah menjadi mangsa, aku masih bersangka baik dan mahu mendapatkan kepastian supaya tidak tersilap orang. Manalah tahu bukan mereka yang terlibat. Rupanya sangkaanku benar apabila seorang lagi guru memberitahu mustapalah menjadi mangsa Fatimah... Allahuuuu... Kata guru itu yang aku namakan sahaja sebagai Noor, penjaga Musttapa menghubungi guru yang bertanggungjawab dan menceritakan dengan terperinci. penjaga Mustapa mengugut untuk mengambil tindakan jika kredit anaknya tidak dipulangkan kembali.


Waktu rehat tiba dan kami seperti kelaziman bersarapan pagi. Kali ini suasana dalam kelas agak suram tidak seperti kebiasaan riuh rendah bak suara di pasar ikan. baik juga suasana ini dapat juga aku fokus belajar kerana tiadanya hingar bingar. Di celah kesunyian itu,  sekali sekala terdengar Fatimah memohon maaf berkali-kali pada Mustapa atas ketelanjurannya mencuri hak orang lain tanpa izin. Mustapa mengatakan bapanya marah apabila memeriksa kandungan sms dan jumlah kredit yang berkurangan jauh. Seorang rakan yang agak berusia mengampiriku dan berbisik "tuuu pencuri, pencuri banar urang atu". Sambil ketawa sinis. Aku hanya tersenyum walaupun dalam hatiku cukup sedih dan terkesima kenapa tergamak Fatimah mencuri kredit orang. Jika mahu, apasalahnya dia beli sendiri, takkanlah takda duit?


Semenjak itu, gerak geri Fatimah dipantau menyebabkan dia tidak lagi berani memegang telefon orang lain.


Semenjak itu juga aku lebih berhati-hati supaya tidak menjadi mangsa seterusnya. Ke mana-mana sahaja aku pergi, pasti aku akan membawa barang yang aku rasa berharga kerana Fatimah ini bukan saja mencuri kredit kerjanya, malahan barang berharga pun akan lesap apabila kesempatan terbuka luas. Semenjak itu aku setkan kata laluan pada telefon bimbit sebagai langkah keselamatan.


Dulu bukan maacam sekarang, semuanya berskrin sesentuh, DST pun tidak lagi mengadakan talian 159 untuk memeriksa baki dan lain-lain. Seiring dengan beredarnya zaman, perubahan pun banyak.


Sebagai akhirnya, buli bukan sahaja dilakukan oleh insan yang berkecukupan, tetapi kadangkala insan senasib pun boleh jadi pembuli. Walaupun sepatutnya senasib harus melindungi senasib, tetapi manusia mempunyai banyak ragam jadi susah untuk diatasi.


Akupun sudah lama tak jumpa Mustapa dan Fatimah serta rakan-rakan lain. Semoga mereka berbahagia dan harapnya Fatimah akan berubah dari pengajaran yang diberi pada peristiwa lepas. Akhirnya ambillah pengajaran dari peristiwa ini, janganlah bersikap seperti ini kerana ianya tidak memberi keuntungan malahan malu yang akan didapat.

Ulasan